Tuesday, October 7, 2008

politik malaysia merundum atau membangun

Sejauhmanakah kepimpinan politik Melayu mampu memimpin politik Malaysia ? Adakah fenomena yang berlaku kini disebabkan oleh teori Politik Baru yang telah berlaku sejak pilihanraya tahun 1999 atau momentum Politik Baru dirasai pada masa kini. Reformasi yang dijalankan sejak Mac 2008 memperlihatkan kepada kita bahawa tiada yang akan kekal berkuasa selama-lamanya tanpa terlebih dulu mendapat kuasa rakyat atau kuasa dalaman parti. Mungkin sejarah politik 60an dan 70an yang berlaku di Amerika Syarikat akan berulang di Malaysia. Ini disebabkan sememangnya negara Malaysia ketinggalan 40 tahun terbelakang jika dibandingkan dengan Amerika Syarikat. Ingat lagi pada masa itu, ketuanan kaum Kulit Putih cuba dipertahankan oleh segolongan kaum elit politik yang menguasai kepimpinan politik Amerika. Kuasa ketuanan tersebut telah dicabar oleh kaum kulit hitam seperti Martin Luther dan sebagainya. akhirnya berlakulah pergelutan politik yang cukup hebat dan tragis yang menyaksikan bukan sahaja pemimpin mereka dibunuh sama ada kaum kulit putih atau kaum kulit hitam. Malahan pada masa tersebut gejala sosial dan kelembapan ekonomi mencengkam Amerika sehinggakan tiada nilai kemanusiaan yang ada cuma revolusi. Pergerakan politik ini dikenali sebagai fasa Politik Baru di Amerika yang menuju ke arah integrasi dua kaum yang sememangnya telah lama menanti retak belah. Adakah perkara ini akan berlaku atau sebaliknya bergantung kepada kebijaksanaan pemimpin kita hari ini. Petunjuk politik baru memang telah lama berlaku cuma pencetusnya tiada pada masa itu. Bagi kita, tanpa kestabilan politik, ekonomi akan hancur dan ini bermakna tiada pekerjaan dan kos kehidupan akan meningkat. Tanpa mengira siapa yang memimpin negara kita, generasi muda amat berharap akan lahirnya seorang pemimpin yang mempunyai ciri-ciri berikut
1. Pemimpin yang diamanahkan akan menjaga amanah tersebut seperti ianya menjaga agamanya. Kalau amanah tersebut dikhianati maka agamanya juga dikhianati.
2. Pemimpin yang berilmu dan berjiwa besar. Ilmu bukan sahaja ilmu dunia tetapi juga ilmu akhirat kerana kedua-duanya amat penting dalam memimpin sebuah masyarakat majmuk dan khususnya pada zaman globalisasi ini. Jiwanya perlu sentiasa memandang ke depan untuk melihat apakah kehendak dan keperluan generasi zaman kini dan akan datang. Bukannya disumbat dengan pembangunan yang akhirnya tanah tergadai maruah bangsa dijual.
3. Pemimpin yang mempunyai misi, visi dan halatuju terhadap negara dan bangsa Malaysia yang dipimpin dan bukannya terhad kepada sekumpulan elit politik yang menyokong mereka. Kita boleh lihat bagaimana negara China pada tahun 80an merupakan negara yang paling jauh ketinggalan sama ada dari segi ekonomi atau ilmiah jika dibandingkan dengan Malaysia. Fikirkanlah dalam masa 10 tahun negara China boleh bangkit semula dan akhirnya mengatasi kita.
4. Pemimpin yang tidak mudah melata apabila dikritik dan sentiasa terbuka fikirannya untuk menerima pandangan dan nasihat sama ada dari pihak pembangkang mahupun rakyat biasa. Kita memerlukan seorang pemimpin yang sederhana, idealis dan tajam fikirannya supaya setiap tindakannya tidak menimbulkan kemarahan mahupun merugikan atau menguntungkan mana-mana pihak.
5. Pemimpin yang boleh melihat akan permasalahan yang dihadapi sama oleh negara kita mahupun dunia dan tahu jalan penyelesaiannya. Ini adalah kerana dunia hari ini kita bukan hidup seorang tetapi berkongsi dengan semua orang di dunia. Jadi permasalahan ekonomi yang dihadapi oleh Amerika, Eropah dan Jepun akhirnya akan memberi kesan kepada kita. Ini disebabkan 70% eksport negara kita adalah tertumpu kepada tiga kuasa tersebut. Mahu tak mahu kita memerlukan pemimpin yang tahu akan menyelesaikan kebuntuan yang bakal dihadapi oleh kita tak lama lagi.

Akhir sekali kita berharap politik Malaysia perlu mengambil pendekatan kesederhanaan iaitu tidak memerlukan kepada teori perkauman mahupun kepada teori partisipasi rakyat. Walaupun negara kita telah mencapai satu tahap pembangunan yang agak drastik dalam masa hampir 20 tahun sejak 1990. Tetapi perlu diingatkan kaum pertengahan rakyat Malaysia telah mula bangkit dan akan melibatkan diri dalam Teori Partisipasi Rakyat. Keadaan ini perlu diambil perhatian kerana pernah terjadi mana-mana ketamaddunan bangsa di dunia apabila kaum pertengahan rakyat semakin melebar akan terjadilah satu rombakan politik dalam tamaddun tersebut. Akhirnya kemuncak kepada tamaddun tersebut apabila kaum pertengahannya mencapai hampir 80% daripada penduduknya maka benih-benih keruntuhan tamaddun tersebut akan berputik. Inilah cuba dihuraikan dalam Teori Kelas Pertengahan. Ini disebabkan kuasa yang awalnya dimiliki oleh segolongan elit politik yang mula bina tamaddun. Secara perlahan-lahan kuasa tersebut dikikis dan akhirnya jatuh kepada golongan kelas pertengahan. Tetapi kuasa tersebut tidak kekal kerana Manusia Mudah Mabuk dengan Kuasa dan kuasalah manusia binasa. Ingatlah pepatah Cina "Kalau pucuk boleh menjadi dahan dan dahan boleh menjadi batang pokok maka akhirnya batang pokok itu akan tumbang disebabkan puncak usianya semakin lanjut diganti oleh pucuk baru". Mungkin sama ada parti PR atau BN perlu memahami bahawa Teori ini sememang benar berlaku dan mereka perlu bersedia menghadapi jika ingin terus hidup dalam politik Malaysia.

Cari kerja

Nak cari kerja dengan sektor awam sila layarilah laman web ini :

http://www.gov.my atau http://www.spa.gov.my